Parliamentary Speeches

Second Reading of the Constitution of the Republic of Singapore (Amendment No. 3) and the Penal Code (Amendment) Bills - Speech by Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim, Minister of State, Ministry of Home Affairs and Ministry of National Development

Published: 29 November 2022

Opening

1.   Mr Speaker, in Malay please.

2.   Sepanjang beberapa bulan yang lalu, Pemerintah secara meluas telah merujuk kepada pelbagai kumpulan berkaitan isu penting ini. 

3.   Saya telah bertemu dengan para pemimpin Melayu/Islam, badan-badan Melayu/Islam, kumpulan antara agama, kumpulan belia dan pakar-pakar penjagaan kesihatan dalam sesi-sesi pendekatan ini. Para peserta telah berkongsi maklum balas secara jujur dan terbuka.


Sokongan Pemerintah untuk Keluarga dan Pindaan Perlembagaan 

4.   Kebanyakan dalam masyarakat kita, termasuk golongan Melayu/Islam, menghargai dan ingin mempertahankan pandangan tradisional sebuah unit keluarga di mana perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang perempuan dan anak-anak dibesarkan dalam suasana kekeluargaan tersebut.

5.   Pemerintah memberikan sokongan penuh kepada hal ini. Pendirian kami berkenaan perkahwinan dan kekeluargaan adalah jelas dan hal ini sejajar dengan dasar-dasar dan undang-undang kita. Definisi perkahwinan konvensional termaktub dalam undang-undang kita – di dalam Piagam Wanita iaitu Women’s Charter, dan Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (AMLA). Kebanyakan dasar-dasar di Singapura berasaskan definisi tersebut, termasuk pengambilan anak angkat, perumahan, pendidikan dan media.

6.   Dengan pindaan perlembagaan, pemerintah sedang mengambil langkah-langkah untuk melindungi definisi perkahwinan dan cabaran-cabaran yang timbul daripada undang-undang dan dasar-dasar yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan. Langkah ini memastikan bahawa sebarang perubahan kepada definisi perkahwinan boleh dibahaskan dan ditentukan menerusi Parlimen dan bukan melalui Mahkamah.

(a)   Jika kita lihat pada pelbagai cabaran yang dihadapi seksyen 377A selama ini, kita boleh jangkakan cabaran yang serupa dengan definisi perkahwinan dan undang-undang dan dasar-dasar yang bersandarkan definisi tersebut.

(b)   Keputusan sedemikian tidak patut dibiarkan kepada Mahkamah untuk membuat keputasan. Di dalam Ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan, Perdana Menteri mengumumkan bahawa para hakim tidak mempunyai kepakaran mahupun mandat untuk menangani persoalan politik ataupun membuat keputusan terhadap norma-norma dan nilai-nilai sosial. Menteri Masagos di dalam ucapannya sebelum ini memetik contoh Amerika Syarikat dan India di mana keputusan Mahkamah boleh membawa padah, sebuah situasi menang-kalah bagi masyarakat.

(c)   Jika kita tidak mengambil tindakan untuk melindungi institusi perkahwinan dan membiarkan kepada pihak Mahkamah, kita mengambil risiko merosakkan asas masyarakat kita, iaitu struktur kekeluargaan.

(d)   Dalam hal penting seperti isu-isu sosial, Parlimen lebih layak untuk menanganinya. Parlimen boleh merujuk kepada pelbagai kumpulan, mengambil maklum balas dan menilai cara yang terbaik untuk maju sambil mengimbangi pertimbangan masyarakat dengan lebih meluas. Pada dasarnya, undang-undang pro keluarga harus diputuskan oleh Parlimen, bukan pihak Mahkamah.

7.   Saya telah berkongsi ini semua bersama masyarakat Melayu/Islam semasa sesi-sesi pendekatan saya, dan kebanyakan mereka memahami dan mengalu-alukannya.


Pemansuhan s 377A Kanun Keseksaan

8.   Sebagaimana yang dijelaskan oleh Menteri Shanmugam dalam ucapan pembukaannya, kami sedang menuju ke arah pemansuhan seksyen 377A.

(a)   Semasa sesi pendekatan saya, ada beberapa, termasuk dari golongan masyarakat Melayu/Islam yang berkongsi keprihatinan bahawa pemansuhan seksyen 377A akan membawa perubahan yang besar kepada undang-undang dan dasar-dasar yang lain dan mencetuskan peralihan yang mendadak kepada masyarakat kita.

(b)   Ada juga yang berkongsi kebimbangan pemansuhan seksyen 377A akan merobohkan benteng dengan perkahwinan seks sejenis dan pembentukan keluarga pasangan seks sejenis, menormalisasikan LGBT dalam masyarakat, membawa kesan secara tidak langsung kepada Pendidikan seks di sekolah, menormalisasikan pengambaran hubungan LGBT di media dan sebagainya.

9.   Saya ingin meyakinkan masyarakat bahawa tiada sebarang perubahan pada pendirian Pemerintah terhadap perkahwinan dan kekeluargaan akan berlaku.

10.   Pemerintah juga tidak ada rancangan untuk mengubah definisi perkahwinan untuk melibatkan perkahwinan seks sejenis. Sama juga dengan dasar-dasar yang berasaskan definisi terkini tentang perkahwinan.  Ia kekal tiada perubahan. Ini juga telah diumumkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong bahawa Pemerintah ini tidak bertujuan untuk mengubah definisi perkahwinan mahupun dasar-dasar yang berasaskan definisi tersebut.

11.   Anda mungkin tertanya, “mengapa kini seksyen 377A dimansuhkan?” Izinkah saya menerangkan secara ringkas mengapa Pemerintah mengambil keputusan untuk memansuhkan seksyen 377A dan melindungi definisi perkahwinan.

12.   Pertama, pemansuhan seksyen 377A adalah perkara yang betul dan berprinsip untuk dilakukan. 

(a)   Pada dasarnya, tidak ada masalah undang-undang dan keamanan berkaitan dengan kelakuan homoseksual dewasa yang suka sama suka secara tertutup.

(b)   Masyarakat telah berubah sejak kali terakhir Parlimen membahaskan seksyen 377A pada tahun 2007. Pada masa itu, masyarakat kita belum bersedia tetapi pendekatan kami sepanjang beberapa bulan yang lalu menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Singapura hari ini menerima bahawa seks antara lelaki bukan sesuatu jenayah.

(c)   Walaupun kita mungkin secara peribadi menentang kelakuan homoseksual, kita harus akur dengan seksyen 377A sebagai sebuah undang-undang yang menjadi penanda stigma kepada mereka yang homoseksual dan juga sebagai peringatan yang mereka tidak diterima oleh masyarakat. Menghilangkan punca tekanan psikologi dan fizikal daripada kehidupan mereka adalah langkah yang betul agar kita boleh maju ke hadapan sebagai sebuah masyarakat yang saling hormat-menghormati keluarga, rakan-rakan dan teman sekerja kita yang homoseksual.

13.   Kedua, sepertimana dijelaskan oleh Menteri Shanmugam, terdapat risiko yang ketara bagi s 377A dibatalkan oleh pihak Mahkamah, atas dasar bahawa ia melanggar fasal perlindungan sama rata Perlembagaan.

14.   Ketiga, jika s 377A dibatalkan oleh pihak Mahkamah – definisi perkahwinan kita, undang-undang dan dasar-dasar yang berkaitan dengannya, akan tertakluk pada cabaran undang-undang yang serupa. 

15.   Mengambil kira kesemuanya, pindaan Perlembagaan dan pemansuhan s 377A mencerminkan pendekatan yang diambil oleh Pemerintah untuk mengelakkan definisi perkahwinan daripada diubah oleh pihak Mahkamah sambil melakukan perkara yang sepatut dan sebaiknya supaya dapat mengekalkan perpaduan serta kohesi masyarakat.  


Menangani Keprihatinan Utama Masyarakat Melayu/Islam

16.   Awal tadi, saya menyentuh beberapa keprihatinan utama yang dikemukakan oleh masyarakat Melayu/Islam berkaitan pemansuhan seksyen 377A dan implikasi yang berkemungkinan terjadi. Saya juga ingin menjelaskan bahawa tiada perubahan kepada undang-undang dan dasar-dasar yang berkaitan dengan perkahwinan kerana ia bukan tujuan Pemerintah untuk menyebabkan peralihan yang tidak stabil ke dalam masyarakat kita.

17.   Izinkan saya memberi sepatah dua kata mengenai maklum balas yang diterima oleh Pemerintah semasa sesi pendekatan kami.

18.   Pertama, saya memahami masyarakat Melayu/Islam ingin melindungi nilai-nilai agama dan kekeluargaan.

(a)   Berkenaan ini, saya ingin merujuk kepada panduan keagamaan daripada Mufti baru-baru ini berkaitan dengan isu LGBT. Mufti menjelaskan bahawa dalam Islam, hanya hubungan seksual antara suami dan isteri dibenarkan. Saya bersetuju nilai ini harus dilindungi dan digalakkan.

(b)   Pada masa yang sama, Mufti turut akui bahawa kita hidup dalam masyarakat majmuk dan kita harus menghormati perbezaan pada pandangan dan tunjukkan perikemanusiaan kepada orang Muslim yang bergelar LGBT. Sebagai seorang Muslim, kita harus berbuat baik dan menunjukkan rasa empati kepada saudara Muslim kita yang mempunyai pandangan yang berbeza dari kita.

19.   Kedua, ada yang bimbang bahawa desakan untuk hak LGBT akan melanggar kebebasan keagamaan.

(a)   Saya ingin jelaskan bahawa pemansuhan S377A tidak akan menjejas kebebasan masyarakat Melayu/Islam mengamal agama dan kebebasan ini akan terus dilindungi perlembagaan.

(b)   Para pemimpin masyarakat Melayu/Islam dan asatizah boleh terus bebas berdakwah tentang pegangan Islam terhadap homoseksualiti termasuk melakukannya secara maya untuk melibatkan lebih ramai belia dalam hal ini, asalkan ianya dilaksanakan secara berhemah, tidak melampaui batas dan mengundang keganasan atau kebencian terhadap orang lain. Masyarakat harus juga merujuk kepada panduan yang disediakan oleh Mufti.

(c)   Yang penting sekali, saya ingin menegaskan bahawa kebebasan mengamal agama mesti diimbangi dengan sifat saling menerima, menghormati dan berperikemanusiaan dalam masyarakat majmuk kita. Ini amat penting untuk mengekalkan perpaduan sosial.


Kesimpulan

20.   Dalam hal isu-isu sensitif, kita bebas untuk tidak bersetuju antara satu sama lain, dan kita harus diberi ruang untuk mengemukakan pendapat dan keprihatinan.   

21.   Namun begitu, dalam kita mengemudikan pandangan-pandangan yang berbeza, kita harus mematuhi prinsip-prinsip saling memahami, hormat, dan bertolak ansur dalam interaksi sebegini, supaya kita boleh mewujudkan dialog yang konstruktif untuk memajukan masyarakat kita.     

22.   Di dalam satu wawancara sebelum ini, Mufti mengulas bahawa pemansuhan s 377A merupakan isu sosial yang rumit dan susah untuk mencapai keseimbangan bagi semua pihak termasuk Pemerintah dan kumpulan-kumpulan agama. Sebagai sebuah masyarakat, kita mesti terus dapatkan bimbingan dan nilai-nilai dari ajaran Islam dari segi pertuturan dan perbuatan meskipun berlaku perubahan dalam undang-undang negara. Kita harus berhati-hati untuk tidak menjadikannya isu perbahasan yang bakal merenggangkan hubungan baik antara kaum yang kita susah payah bina selama ini.

23.   Sebagai pemimpin yang beragama Islam, kita tidak seharusnya fokus kepada pandangan peribadi kita dan menarik hati masyarakat kita sahaja. Akan tetapi, kita juga harus mempertimbangkan secara kesuluruhan apa yang terbaik untuk masyarakat kita dengan menimbangkan pandangan daripada masyarakat Singapura, secara keseluruhannya.  Ini untuk memastikan perpaduan yang seluruhnya dan membolehkan kita untuk sama-sama maju kehadapan. Selaras dengan apa yang dikatakan oleh Mufti, walaupun homoseksualiti adalah satu dosa, masyarakat tidak boleh menolak dan mengetepikan mereka. Kita seharusnya kekal berprinsip dan seimbang walaupun kita mempunyai pendapat yang berbeza dan melihat apa yang terbaik bagi masyarakat secara keseluruhan. Inilah sebabnya mengapa Pemerintah menyokong kedua-dua pemansuhan s 377A dan pindaan perlembagaan untuk melindungi perkahwinan.

24.   Dalam kita bergerak ke hadapan, saya menyeru kepada semua supaya bertenang dan bersikap sederhana, sambil kami berusaha mencapai persetujuan untuk kemajuan Singapura sebagai masyarakat bersatu padu, sebagaimana yang sentiasa kita lakukan.  

25.   Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para pemimpin masyarakat dan rakan-rakan kerja kerana berkongsi pandangan mereka dan memberi sokongan kepada Pemerintah tentang pekara ini. Kami telah mendengar luahan mereka, dan akan terus bekerja rapat dengan mereka untuk menghadapi hal ini. 

26.   Saya rasa terharu dengan sikap mereka untuk terus mengukuhkan ekosistem pembangunan negara kita, walaupun kadang kala kita menghadapi isu-isu yang rumit.

27.   Terima kasih.